Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita bertindak membuat provakasi terhadap anggota bertugas selepas tidak dibenarkan masuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam dengan mengenakan pakaian yang tidak bersesuaian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, wanita berusia 30-an itu didapati hadir ke IPD Kajang pada jam 10.30 pagi untuk membuat laporan polis berkaitan kes kemalangan jalan raya.

“Anggota sentri bertugas telah memaklumkan supaya meletakkan kereta wanita itu di sebelah belakang IPD disebabkan tempat letak kereta yang tidak mencukupi di dalam kawasan terbabit.

“Kemudian, anggota sentri mendapati wanita terbabit memakai seluar pendek paras peha (di atas paras lutut) dan telah menasihatinya supaya menukar seluar yang lebih sesuai jika ingin berurusan di premis kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Zaid, wanita itu dilihat tidak berpuas hati dan enggan mengikut arahan pada awalnya selain melakukan provokasi terhadap anggota bertugas.

Bagaimanapun, anggota yang bertugas sekali lagi menasihatinya secara berhemah dan meminta wanita itu menukar seluar yang bersesuaian jika ingin berurusan di balai polis.

“Wanita itu kemudian dilihat memandu keluar dari IPD sebelum datang semula kira-kira 15 hingga 20 minit kemudian bersama dua rakannya dengan memakai seluar panjang.

“Pemakaian seluar panjang sebagaimana di dalam gambar yang tular di portal Free Malaysia Today adalah setelah wanita itu menukar seluar (lain) selepas dinasihatkan oleh anggota bertugas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan wanita itu dilarang masuk ke dalam kawasan IPD Kajang walaupun sudah memakai seluar bersesuaian hingga tular menerusi laporan dikeluarkan sebuah portal berita.

“Untuk makluman IPD Kajang berurusan dengan orang ramai dalam anggaran 300 orang dalam sehari. Setakat ini tiada apa-apa masalah yang timbul mengenai isu pakaian.

“Selain itu, gambar etika pakaian pelawat ketika berurusan dalam premis kerajaan juga dilekatkan pada Pos Kawalan sebagai rujukan,” jelasnya. – MalaysiaGazette