KUALA LUMPUR – Bermula hari ini, mana-mana individu yang disabit kesalahan menyeludup hidupan liar sama ada ke dalam atau luar negara tanpa permit khas, dikenakan tindakan lebih berat iaitu denda RM1 juta dan penjara tidak melebihi 15 tahun.
Hukuman ini mengikut Seksyen 71 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam satu kenyataan berkata, agensi itu menguatkuasakan 44 seksyen di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646] yang mula dikuatkuasakan hari ini.
Kata Perhilitan, penaliti ini perlu kerana ia adalah jenayah serius dan sebagai usaha mencegah hidupan liar yang juga sumber khazanah negara tidak ternilai itu terancam akibat aktiviti-aktiviti haram.
“Ini adalah jenayah terancang yang berskala besar merentasi sempadan negara dan ia perlu dihentikan.
”Peningkatan penalti dan tempoh pemenjaran ini bersifat mencegah bertujuan memastikan hidupan liar terus kekal bagi generasi akan datang,” katanya.
Justeru, Perhilitan menyeru orang ramai untuk mengambil maklum mengenai akta tersebut dan bekerjasama menyalurkan maklumat sebarang aktiviti jenayah hidupan liar kepada pihaknya. – MalaysiaGazette