KUALA LUMPUR – Seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun parti tersebut.
Berita Harian melaporkan, Muhammad Faiz mengesahkan tindakan tersebut telah diambil.
“Saya boleh sahkan perkara itu, namun maklumat terperinci tidak dapat saya kongsi buat masa sekarang. Ahli MPT dimaklumkan perkara ini beberapa hari lalu,” katanya kepada BH dihubungi hari ini.
Beliau percaya pembekuan akaun itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion ketika di bawah pentabiran Perikatan Nasional.
Dana tersebut didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.
Sebelum itu beberapa media melaporkan SPRM membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu, baru-baru ini.
Ia berlaku sehari selepas parti terbabit mendedahkan akaun mereka untuk tahun 2020 dan 2021.
Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad menyiarkan penyata akaun Bersatu bagi tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit semalam.
Tindakan itu dibuat bagi menepis dakwaan Bersatu terima RM4 bilion dari RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri.
Marzuki mencabar parti DAP dan PKR untuk melakukan perkara yang sama. – MalaysiaGazette