Pengerusi Perikatan Nasional dan juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto FAREEZ FADZIL, 02 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, meminta supaya perintah pembekuan akaun parti itu dapat dibatalkan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, apabila akaun itu dibeku, parti tidak mempunyai sumber kewangan untuk mengurus parti seperti membayar gaji pentadbiran.

“Justeru, kita akan menulis surat hari ini kepada SPRM supaya perintah pembekuan akaun Bersatu dapat dibatalkan.

“Bila dah dibeku akaun, kami sebagai pertubuhan politik, yang penting dan besar ialah tak ada duit.

“Macam mana nak bayar gaji pentadbiran, bukan saja untuk sebulan ini, tetapi untuk sepanjang masa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pemukiman Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, kalau SPRM menyatakan akaun itu dibekukan untuk tempoh tiga bulan, ia akan menyulitkan perjalanan parti.

“Kalau dikatakan akaun itu dibekukan untuk tiga bulan, tempoh itu pun susah. Kalau pegawai saya tak ada gaji, nak urus pejabat tak boleh, nak bayar sewa tak ada duit. Ini membawa kesan kepada kelicinan pentadbiran parti. – MalaysiaGazette