Datuk Muhamad Zaki Harun

KOTA BHARU – Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga Thailand dan merampas dua pucuk pistol dalam dua serbuan berasingan di Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan pertama dibuat selepas pihaknya menerima aduan berkaitan sepasang suami isteri bergaduh di sebuah bilik di hotel bajet dekat Cabang Empat Salam, pada 2.39 pagi.

Beliau berkata, pasukan polis kemudian membuat serbuan dan menangkap seorang lelaki berusia 35 tahun berasal dari Narathiwat, Thailand yang menginap di bilik hotel tersebut.

“Pemeriksaan lanjut dalam hotel menjumpai sepucuk pistol jenis Norinco bersama sembilan butir peluru 9 mm yang disorokkan di dalam beg galas yang dipakai oleh lelaki itu.

“Siasatan lanjut mendapati lelaki itu positif dadah dan memasuki negara ini melalui laluan tidak sah. Polis juga mendapati tujuan dia datang ke sini adalah bagi urusan perniagaan di Kampung Kajang, Tanah Merah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu direman bermula hari ini hingga 15 Februari depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953/63.

Dalam satu lagi kes, Muhamad Zaki berkata, polis merampas sepucuk revolver selepas sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang membuat serbuan berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di Kampung Kedai Menanti, pada 4.30 pagi semalam.

Beliau berkata, pasukan AADK melakukan serbuan kerana lelaki itu disyaki penagih dadah.

“Ketika serbuan, berlaku pergelutan dan lelaki itu cuba mencapai sesuatu disyaki pistol berwarna hitam di atas tangga rumah tersebut.

“Setelah berjaya ditahan, pemeriksaan menemukan sepucuk pistol namun tiada apa-apa barang salah ditemukan pada tubuh lelaki itu. Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan kini direman seminggu bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, siasatan lanjut mendapati pistol yang dirampas adalah jenis revolver bertulis ‘Police Positive Special’ dan lelaki itu mengaku pistol itu adalah miliknya yang dibeli dari Thailand pada 2017 dengan harga RM2,000.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya berjaya menumpaskan satu kumpulan pecah rumah dan curi kenderaan selepas menahan tujuh lelaki dalam serbuan di Kampung Machang Limbat dan di Kampung Berhala Lima dekat Pasir Tumboh, di sini, antara 12.15 tengah malam hingga 4 pagi semalam.

Beliau berkata, polis menemukan pelbagai peralatan mencuri kenderaan serta lima kereta Proton Wira disyaki hasil curi.

“Ketika tangkapan dilakukan seorang anggota serbuan telah mengalami patah jari kelingking tangan kanan selepas bergelut dengan suspek,” katanya dan menambah kesemua lelaki berusia lingkungan 37 hingga 58 tahun itu direman hingga 7 Feb ini untuk siasatan mengikut Seksyen 325/353 Kanun Keseksaan. – Bernama