Chong Zhemin.

KUALA LUMPUR – DAP mendesak Barisan Nasional (BN) untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap semua ahli Parlimen parti itu yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Setiausaha Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin berkata, tindakan tidak seharusnya diambil terhadap ahli Parlimen UMNO sahaja.

Katanya, langkah itu perlu dalam memastikan kestabilan  kerajaan perpaduan dan bagi mengelakkan pengulangan  Langkah Sheraton yang menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Lembaga Disiplin BN juga harus menyiasat ahli parlimen BN lain yang menyokong Muhyiddin sebagai PM bagi memastikan tidak wujud double standard.

“Kenapa hanya ahli Parlimen UMNO sahaja yang dihukum kerana menyokong Muhyiddin sebagai PM tetapi ahli Parlimen BN yang lain terlepas?

“Mengapakah ahli Parlimen BN tertentu menikmati imuniti daripada tindakan tatatertib? Adakah semua ahli Parlimen BN sama rata atau ada yang lebih setara daripada yang lain?”  tanya beliau.

Ahli Parlimen Kampar itu  tidak berniat untuk mencampuri urusan dalaman parti BN namun segala usaha mesti diambil untuk memastikan tidak ada lagi langkah menjatuhkan kerajaan perpaduan.

“Oleh itu, adalah amat penting bagi siasatan penuh dijalankan berhubung dengan Ahli Parlimen BN yang telah menandatangani SD (akuan bersumpah) dan kandungan SD.

“Di bawah Akta SD 1960, mana-mana orang yang membuat SD palsu akan didakwa dan akan dihukum penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun dan juga boleh didenda,” kata Zhemin dalam kenyataan.

UMNO baru-baru ini bertindak memecat keahlian Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin.

Parti itu turut mengantung keahlian Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan beberapa yang lain.

Media sebelum ini melaporkan Hishammuddin antara 10 ahli Parlimen BN yang menandatangani akaun berkanun untuk menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Turut didakwa menandatangani SD itu dari UMNO adalah Datuk Hasni Mohamad (Simpang Renggam), Datuk Seri Jalaludin Alias (Jelebu), Datuk Isam Isa (Tampin), Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah) dan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis).

Sementara pemimpin bukan UMNO adalah Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Datuk Seri Saravanan Murugan (Tapah)
Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) dan Datuk Athur Joseph Kurup (Pensiangan).-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. DAPIGS/ PH perlu diSIASAT menyokong umno/bn dalam kerajaan campuran YANG ASALnya TIDAK terima SERTA menentang PARTI RASUAH dan salahguna kuasa..kleoprat

    umpama TELUNJUK KELINGKING BERKAIT….MENGATA ORANG …DIA YANG LEBIH

Comments are closed.