Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam nahas di Kilometer (KM) 20.1 Jalan Bentong-Raub pada malam tadi

KUANTAN – Seorang pemandu bas patah tangan manakala empat pelajar cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer (KM) 20.1 Jalan Bentong-Raub malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ketika kejadian pukul 8. 20 malam itu, pemandu bas membawa bersama 30 penumpang terdiri daripada tiga orang guru pengiring dan 27 orang pelajar di salah sebuah sekolah di Kuala Lipis.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati apabila sampai di jalan lurus, pemandu bas cuba memotong beberapa buah kenderaan lalu terbabas melanggar penghadang jalan dan masuk ke dalam parit lalu terbalik sebelah kanan jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu bas merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 32 tahun telah patah tangan kanan dan di hantar ke Hospital Bentong.

“Empat penumpang terdiri daripada pelajar sekolah mengalami kecederaan ringan juga menerima rawatan  di hospital manakala lain-lain penumpang termasuk guru tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau turut  memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

Pihak polis juga menasihatkan semua pengguna jalanraya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat. – MalaysiaGazette