MELAKA – Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam pemilihan parti 18 Mac ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat atas semangat untuk terus menyumbang kepada parti dengan membantu menyerlahkan lagi UMNO kepada masyarakat sekali gus memperkukuh parti keramat itu.
“Dengan penuh keinsafan dan berbekalkan pengalaman dalam politik bermula sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli MKT UMNO pada pemilihan parti penggal ini.
“Saya juga mahu bersama-sama pucuk pimpinan memastikan parti ini terus dilihat relevan kepada semua golongan masyarakat terutama kepada generasi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, serahkan borang pencalonan pemilihan MKT yang pertama kali ditandingi itu akan dibuat dalam tempoh tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat bermula pada 13 Februari sehingga 26 Februari ini. – MalaysiaGazette.