MELAKA – Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh akan menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti akan datang menggantikan kerusi disandang Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut sumber, Ketua Pemuda UMNO Jasin itu turut bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin yang kini dipegang Datuk Hasan Rahman.
“Setakat ini, Dr Akmal sah akan bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Jasin namun masih ada beberapa perkara yang sedang diperhalusi.
“Jika semuanya berjalan lancar, beliau akan membuat pengumuman rasmi mengisi dua jawatan itu Rabu ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah negeri berkata, beliau akan mengumumkan hasrat bertanding merebut jawatan nombor satu sayap parti itu selepas mendapat pandangan perwakilan dari beberapa negeri.
Setakat ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dilaporkan mengesahkan akan bertanding jawatan itu pada pemilihan parti akan datang.
Pemilihan UMNO bermula Sabtu lalu bagi memilih jawatankuasa cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri membabitkan 22,000 cawangan dan 191 bahagian di seluruh negara.
Pemilihan akan berlangsung sehingga 26 Februari sebelum diteruskan untuk peringkat bahagian sehingga 18 Mac ini. – MalaysiaGazette.