Lepasan SPM dan STPM boleh memohon kemasukan ke IPTA dan ILKA melalui UPUOnline mulai esok.

KUALA LUMPUR – Permohonan fasa pertama kemasukan pelajar sesi akademik 2023/2024 ke program Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di 20 universiti awam, 36 Politeknik, 105 Kolej Komuniti dan empat Institusi Kemahiran Tinggi Awam (ILKA) melalui UPUOnline akan dibuka bermula esok hingga 28 Mac ini.

Bagi fasa kedua, permohonan kemasukan dibuka pada 15 Mei hingga 12 Jun 2023.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi, permohonan terbuka untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi semua program pengajian fasa pertama.

Manakala program pengajian yang tidak bertemu duga atau ujian dibuka bagi permohonan fasa kedua.

“Selaras hasrat kerajaan meringankan beban rakyat dan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi, sukacita diumumkan bahawa kos sebanyak RM15 dikenakan sebagai bayaran proses UPUOnline, bagi mendapatkan Unik ID akan ditanggung sepenuhnya Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Dijangkakan lebih 350,000 calon lepasan SPM dan STPM atau yang setaraf mendapat manfaat daripada inisiatif ini, yang akan membawa kepada implikasi kewangan sebanyak RM5.25 juta kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Semua calon yang berkelayakan adalah dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi,” kata kenyataan itu, hari ini.

Katanya, sebanyak 471 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,088 program pengajian untuk lepasan STPM atau setaraf oleh universiti awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA di seluruh negara.

Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan UPUOnline boleh diajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, 62000 Putrajaya. – MalaysiaGazette