Fuziah Salleh

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) akan melancarkan inisiatif Menu Rahmah di negeri Pahang minggu depan.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihaknya kini dalam proses mengenal pasti platform bagi meletakkan direktori kedai-kedai yang akan melaksanakan inisiatif tersebut.

Menurutnya, satu sesi libat urus telah diadakan bersama Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia (PERTOM) di sini hari ini untuk menjayakan inisiatif tersebut.

“Kalau di Pahang ini, kita turut mengajak rantaian ‘food court’, kopitiam atau kedai-kedai biasa untuk sama-sama menyertai inisiatif ini,” katanya selepas lawatan kerja ke Pejabat KPDN Pahang.

Selari dengan asas inisiatif Menu Rahma, Fuziah berkata,  pihaknya juga mengalu-alukan jika terdapat industri lain mahu bekerjasama untuk melaksanakan inisiatif serupa.

“Kita dapati sambutan amat baik. Dan kita tahu ramai yang susah ketika ini. Kita tahu juga kos sara hidup bukan hanya melibatkan makanan, tapi melibatkan kesihatan, perumahan, pengangkutan dan pendidikan.

“KPDN akan sentiasa libat urus dengan kementerian-kementerian lain dan industri-industri supaya kos sara hidup itu dapat kita kawal,” jelas Fuziah.

Sejak KPDN melancarkan inisiatif Menu Rahmah pada 31 Januari lalu, hampir 15,000 premis menjual makanan setakat ini menyertai inisiatif itu di mana makanan siap masak ditawarkan pada harga RM5 dan ke bawah. – MalaysiaGazette