sistem kesihatan harga telur subsidi bersasar doktor kontrak
Lawrence Low

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menambah baik sistem kesihatan di negara ini bagi mengelak krisis melibatkan sektor tersebut pada masa akan datang.

Timbalan Bendahari Agung MCA, Datuk Lawrence Low berkata, krisis dijangka berlaku sekiranya kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) nekad meninggalkan kerjaya mereka akibat tekanan yang dihadapi ketika ini.

“Antara masalah yang dihadapi oleh kakitangan KKM adalah sistem yang tidak cekap, tekanan dan bebanan kerja, gaji yang tidak setimpal dan kekurangan kakitangan di tempat-tempat kritikal.

“Melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi, kerajaan perlu memperuntukkan perbelanjaan yang lebih besar kepada KKM untuk mengatasi masalah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lawrence mengulas mengenai hasil kaji selidik oleh CodeBlue terhadap 798 pekerja berjawatan tetap dalam sistem kesihatan awam di negara ini.

Dapatan kaji selidik tersebut menunjukkan kira-kira 62 peratus ingin meletak jawatan, 41 peratus bersedia melakukan mogok, lebih 70 peratus mengalami kerja berlebihan, gaji tidak berbaloi, kelelahan fizikal, mental dan emosi akibat tekanan yang berpanjangan.

Sebanyak 58 peratus responden adalah pegawai perubatan manakala 58 peratus adalah pakar atau sub pakar.

Lawrence turut mempersoalkan sama ada kerajaan mahu berlengah dalam menangani isu tersebut.

“Adakah setelah keadaan menjadi tidak terkawal baru kerajaan mahu bertindak?

“Bagi saya, mencegah lebih baik daripada mengubati. Itulah yang seharusnya dilakukan oleh kerajaan ketika ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast