Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdu bercakap kepada medai selepas Majlis Temu Mesra dengan Speaker Dewan Rakyat bersama Media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Semua ahli Parlimen penyokong kerajaan mahupun pembangkang (backbenchers) yang tidak mempunyai apa-apa jawatan diminta menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, satu mesyuarat yang  dipengerusikannya pada 13 Februari ini bagi membincangkan jumlah keahlian jawatankuasa yang dihidupkan semula bagi sidang Parlimen kali ke-15 ini.

Menurutnya, beliau sedia menambah sehingga 13 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memastikan semua Ahli Parlimen kerajaan berpeluang menyertai jawatankuasa terbabit.

”Saya mahu Ahli Parlimen sama ada dari kerajaan atau pembangkang berada dalam jawatankuasa khas ini dan semua pihak mempunyai peranannya.

“Mereka ini akan diberikan kakitangan dan peruntukan bagi setiap jawatankuasa khas. Setiap jawatankuasa khas mungkin lapan hingga 10 orang tidak termasuk eksekutif.

“Ahli Parlimen tersebut perlu cemerlang dan mereka tidak boleh mengadu kata tidak cukup masa untuk berdebat di Dewan Rakyat dan perlu berprestasi tinggi dalam jawatakuasa tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis temu mesra Yang di-Pertua Dewan Rakyat bersama pengamal media tahun 2023 di Parlimen hari ini.

Backbencher merupakan Ahli Parlimen  yang tidak memegang jawatan menteri dan timbalan menteri (eksekutif).

Dalam pada itu, Johari turut menggesa media menubuhkan satu jawatankuasa khas media bagi mendepani apa-apa masalah berkaitan liputan berita.

Jawatankuasa itu akan menjadi orang tengah antara beliau dan pengamal media dalam menyelesaikan masalah berkaitan media di Dewan Rakyat.

“Saya tidak boleh bercakap dengan setiap orang daripada media, saya cadangkan media tubuhkan satu jawatankuasa merangkumi tiga empat wakil dengan apa masalah yang  disuarakan kepada mereka.

“Mereka akan datang jumpa saya dan saya akan dengar, tidak kira media rasmi atau tidak. Mesti ada kumpulan yang saya boleh bercakap mengenai masalah media,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat bagi sesi penggal Parlimen ke 15 akan dimulakan pada 13 Februari ini dan pembentangan semula Bajet 2023 dijadualkan pada 24 Februari 2023. – MalaysiaGazette