Seorang pengarah syarikat pembinaan, Keh Teck Chuan, 53 didakwa atas dua pertuduhan rasuah sogokan RM50,000 kepada Inspektor polis supaya tidak mengambil tindakan kerana memiliki minyak subsidi tanpa lesen ketika di bawa oleh pegawai SPRM ke di Mahkamah Sesyen, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 08 FEBRUARI 2023.

SHAH ALAM – Gara-gara mahu lepas daripada dikenakan tindakan atas kesalahan memiliki minyak subsidi tanpa lesen, seorang pengarah syarikat pembinaan ditangkap anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kejadian di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, tertuduh Keh Teck Chuan, 53, cuba menyogok seorang pegawai polis berpangkat Inspektor sebanyak RM100,550 supaya tidak mengambil tindakan atas kesalahan itu.

Hari ini, beliau dihadapkan ke mahkamah di sini untuk menghadapi dua pertuduhan rasuah.

Tertuduh bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Mengikut pertuduhan, Teck Chuan didakwa menawar RM50,000 kepada seorang Inspektor yang bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau juga didakwa memberikan suapan RM50,550 kepada pegawai polis sama sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki minyak subsidi tanpa lesen.

Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah gudang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang kira-kira jam 11malam dan 11.10 malam pada 1 Februari lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin yang menetapkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan.

Mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM40,000 dan tertuduh diarah melaporkan diri setiap minggu pertama di pejabat SPRM Selangor. – MalaysiaGazette