KUALA LUMPUR – Penggubah muzik filem Kabali yang dibintangi  Rajnikanth, Santhosh Narayanan bakal mengadakan konsert sulungnya, Sounds Of The South bulan depan.

Konsert julung kali anjuran Reach Production Sdn Bhd itu akan diadakan di Arena Axiata Bukit Jalil di sini dengan jangkaan kehadiran sekitar 13,000 penonton pada 18 Mac depan.

MalaysiaGazette difahamkan ini merupakan konsert luar negara pertama Santhosh yang menampilkan beberapa dendangan lagu popularnya.

Santosh juga akan menyanyi beberapa lagu yang masih lagi dirahsiakan ketika ini.

Ketika sidang media khas hari ini, Santosh membuat kemunculan pertama dan mengakui teruja untuk bertemu para peminatnya di negara ini.

Menurut Santhosh, beberapa penyanyi dan penari tempatan akan mengadakan persembahan bersamanya dalam segmen utama konsert itu

“Saya mencintai muzik, saya amat percaya ia mempunyai kuasa untuk menyatupadukan rakyat, menjadi alat pembentukan nilai dalam komuniti dan diharap konsert ini akan menonjolkan perkara sedemikian,” katanya pada sidang media di Hotel Le Meridian petang ini.

Santhosh Narayanan atau lebih dikenali SaNa dalam kalangan peminatnya dan pernah memenangi banyak anugerah dalam industri filem India terkenal kerana latar belakang muziknya dan keazamannya bersama alat muzik tradisional folk dalam penggubahan lagu-lagunya.

Selain Santosh, turut membuat kemunculan dalam konsert mega ini termasuklah Dhee, Dhruv Vikram, Haricharan, Super Singer Priyanka, Vijaynarain, Anathu, SVDP, Gana Muthu dan ramai lagi.

Dalam pada itu, menurut pengarah bersama Reach Productions, Yugeswaran and Suresh, konsert itu bakal memukau penonton dengan persediaan pentas dan tempat duduk yang bersudut 360 darjah di Axiata Arena yang pastinya memberi pengalaman menakjubkan.

“Pencahayaan canggih dan bunyi sekeliling 360 darjah bakal menaikkan suasana pentas dengan memberikan pengalaman bagi penonton menikmati konsert bertaraf antarabangsa.

“Kami bekerjasama bersama Rapport Global Events dari Mumbai, India yang telahpun mengadakan 2,000 persembahan seluruh dunia,” ujarnya. -MalaysiaGazette