KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak pasti dengan maksud parti yang mengasaskan Kerajaan Perpaduan seperti yang dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abd Hadi menegaskan, Pakatan Harapan (PH) menjadi wakil MUDA dalam membentuk kerajaan pada waktu ini.
“Terima kasih Datuk Seri (Anwar) atas jawapan. Saya tak pasti apa yang dimaksudkan sebagai parti pengasas namun PH mewakili MUDA bagi menantandatangan perjanjian Kerajaan Perpaduan.
“Mungkin sekurang-kurangnya ada makluman berkaitan sebarang perkembangan,” kata Amir Hariri di Twitter.
Ciapan itu turut dikongsi oleh Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam ciapan berasingan, Amir Hariri berkata, MUDA telah menghantar surat rasmi melalui e mel, Whatsapp dan serahan tangan sejak tahun lalu untuk perjumpaan rasmi.
“Tidak ada sebarang komunikasi rasmi sejak kali terakhir kita hadir tandatangan bentuk kerajaan. Parti kecil atau besar, kita sama-sama bentuk kerajaan hari ini,” tegasnya.
Anwar hari ini menjawab rungutan Amir Hariri yang MUDA tidak dijemput menghadiri mesyuarat pertama sekretariat kerajaan yang dipengerusikannya di ibu pejabat UMNO pada Selasa lalu.
Menurut Pengerusi PH itu, mesyuarat tersebut hanya untuk parti yang mengasaskan Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri berkata, perkara itu sudah dijelaskan sebelum ini.
Bagaimanapun, kata Anwar, pihak yang menyokong Kerajaan Perpaduan akan tetap menyertai perbincangan secara bersama dalam platform-platform seterusnya.
“Tak apa itu kita dah jelaskan. Mesyuarat itu sebenarnya mesyuarat parti-parti yang mengasas. Yang lain itu akan juga dibawa kerana mereka juga menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unisel di Bestari Jaya dekat sini pagi tadi.
Amir Hariri semalam berkata, MUDA tidak dimaklumkan langsung berkaitan mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat UMNO.
“Nampak ada logo Muda. Tapi tak tahu apa-apa. Tak ada jemputan. Tak ada makluman. Tahu-tahu dah ada keputusan,” kata di Twitter semalam.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Hanya parti asas Kerajaan Perpaduan terlibat mesyuarat sekretariat – Anwar