PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) memberikan tempoh masa selama 60 hari kepada UMNO bagi memberikan penjelasan secara terperinci mengenai keputusan untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihannya akan datang.
Penjelasan itu diberikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan dua pertemuan antara parti itu dengan RoS, baru-baru ini.
“Saya percaya Setiausaha Agung (Datuk Seri Ahmad Maslan) akan memenuhi permintaan dan memberikan butiran maklumat yang diperlukan,” kata Ahmad Zahid dalam sidang media sempena perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bulan Februari di Dewan Seri Lestari, hari ini.
Sebelum ini, Ahmad telah mengadakan dua pertemuan antara RoS yang turut disertai penasihat undang-undang parti itu.
Pada 31 Januari lalu, Ahmad berkata, UMNO telah memberi penjelasan kepada RoS berhubung usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU2022) untuk jawatan nombor satu dan dua yang tidak akan dipertandingkan
Ahmad berkata, beliau bersama tiga individu lain telah menemui Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad dan timbalannya, di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya pada 31 Januari lalu dengan membawa dokumen yang disediakan peguam.
Pertemuan itu dibuat susulan tindakan dua ahli UMNO bertindak menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Dalam pada itu, Zahid yakin PAU2022 yang telah berlangsung bulan lalu telah mengikut peraturan mesyuarat yang ditetapkan dan juga mengikut perlembagaan parti sebagaimana yang termaktub dalam Permainan.
Beliau berkata adalah lebih adil jika RoS dengar penjelasan dan aduan kedua-dua belah pihak bagi wujudkan suasana harmoni dikalangan ahli dengan kepimpinan.
“Ini agar tidak timbul soal tafsiran dan intepretasi pelbagai. Peranan RoS jaga ahli-ahli pertubuhan didaftarkan berdasarkan perlembagaan,” katanya lagi.
PAU2022 sebelum ini meluluskan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Untuk rekod, Ahmad Zahid menang jawatan presiden untuk tempoh 2018-2021 pada Pemilihan UMNO 2018.
Beliau menewaskan pencabarnya termasuk Khairy dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, Khairy (51 undi), manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.
Datuk Seri Mohamad Hasan pula menang kerusi Timbalan Presiden dengan 75 undi menewaskan bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa. – MalaysiaGazette