Mah Hoong Ming (kanan) dan Mah Pih Ling (kiri) di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh, Pahang hari ini.

TEMERLOH – Dua beradik terkilan tiada pesanan terakhir disampaikan ibu mereka sebelum bercuti ke Genting Highlands dekat sini tiga hari lalu.

Ibu mereka, Foong Ah Lan, 67, menjadi salah seorang daripada tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan di kawasan pelancongan itu semalam.

Mah Hoong Ming, 38, dan Mah Pih Ling,42 sama sekali tidak menyangka percutian singkat ibu mereka bertukar tragedi dan terkejut apabila diberitahu van persiaran yang dinaiki ibu mereka terlibat kemalangan dan meragut nyawanya.

“Kami mengetahui mengenai kejadian menimpa ibu dan menerima panggilan pada petang semalam. Saya dapat panggilan mengenai kejadian pukul 3.40 petang semalam,” kata Hoong Ming ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) di sini hari ini.

Dia yang tinggal bersebelahan rumah ibunya di Juru, Pulau Pinang memberitahu,  ibunya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan hanya bersikap seperti biasa ketika terakhir mereka bertemu.

“Ibu memang suka berjalan-jalan dan kali terakhir kami jumpa pada Isnin lalu,” kata Hoong Ming menahan sebak.

Kedua beradik yang kelihatan sugul itu juga memberitahu, ibunya gemar pergi bercuti sama ada ke lokasi dekat atau jauh bersama seorang ibu saudara mereka.

Ketika ditanya, dia turut mengesahkan ibu saudaranya juga merupakan salah seorang penumpang van terbabit yang cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Ya, ibu saudara saya juga salah seorang penumpang. Dia cedera dan dirawat di HKL,” katanya.

Setakat puku 5 petang tadi, hampir semua waris kepada enam mangsa yang maut dalam tragedi van terbabas itu telah tiba di Unit Perubatan Forensik HOSHAS namun proses bedah siasat masih dilakukan.

Difahamkan, kesemua 13 orang mangsa berusia lingkungan 49 sehingga 78 tahun itu bercuti di Genting Highlands dan kemalangan kira-kira pukul 1.15 tengah hari ketika mereka dalam perjalanan pulang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis sahkan semula identiti mangsa insiden van terbabas