KUALA LUMPUR – AirAsia tawar lima juta tempat duduk percuma ke destinasi domestik dan antarabangsa tahun ini untuk memacu industri pelancongan di ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, tempahan dibuka bermula 10 Februari hingga 19 Februari ini dengan tempoh perjalanan antara 1 Mac dan 10 Disember 2023.

Bagaimanapun, menurut beliau, promosi itu tidak termasuk cukai lapangan terbang, fi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), surcaj bahan api dan bayaran lain yang berkenaan.

“Para tetamu boleh terbang ke destinasi domestik seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Sibu, Kota Kinabalu dan banyak lagi bermula daripada RM23.

“Destinasi antarabangsa termasuk Bali, Krabi, Jakarta, Macao, Shenzhen, Guangzhou, Phu Quoc, Bandar Ho Chi Minh, Singapura dan banyak lagi daripada RM60.

“Bagi mereka yang ingin terbang lebih jauh, AirAsia X menawarkan penerbangan ke Gold Coast, Busan, Taipei, Tokyo dan banyak lagi dengan tambang rendah termasuk semua daripada RM329 sehala untuk tempat duduk ekonomi,” katanya selepas melancarkan promosi lima juta tempat duduk penerbangan percuma AirAsia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tony berkata, kempen itu juga bagi menyokong Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) mengukuhkan Malaysia sebagai negara dengan pelbagai tarikan dan destinasi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berucap pada Majlis Pengumuman Strategi Memperkukuhkan Ekonomi Industri Pelancongan Negara di Colony Star Boulevard KLCC, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 FEBRUARI 2023.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pemacu ekonomi utama Malaysia adalah sektor pelancongan yang menyumbang hampir 15 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“MOTAC menyasarkan untuk menerima 15.6 juta ketibaan pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM47.6 bilion bagi tahun 2023.

“Kami memuji inisiatif AirAsia untuk merancakkan semula industri pelancongan negara dan dalam memainkan peranan penting untuk mencapai hasil ini,” ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai penjenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan klia2 ke Terminal 1 dan Terminal 2, Tony berharap cukai lapangan terbang atau caj perkhidmatan penumpang (PSC) akan diturunkan.

Katanya, anak-anak syarikat AirAsia telah berkempen selama lebih 20 tahun untuk memastikan kerajaan mengenakan cukai lapangan terbang yang lebih rendah kepada penumpang supaya lebih ramai orang boleh melakukan perjalanan udara.

“Saya harap kita dapat memujuk kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), saya optimis kita akan mempunyai sistem cukai yang berbeza pada masa hadapan.

“Saya yakin kita mempunyai kriteria yang tepat untuk mula membincangkan perkara yang saya impikan,” katanya. -MalaysiaGazette