Eddin Syazlee Shith

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan bersedia untuk menawarkan jawatan Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan kepada bekas Ketua Pemuda Pergerakan UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Memetik laporan Sinar Harian Online, pengerusinya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, perkara itu ditawarkan kepada Khairy sekiranya beliau mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Kalau KJ (Khairy) sertai Bersatu dan bertanding di Negeri Sembilan, kita tiada masalah untuk tawarkan dia kerusi menteri besar.

“Bagi saya, itu adalah persoalan kecil kerana pentingnya kita nak memastikan kemenangan dan semestinya siapa sahaja yang dirasakan ada nilai dan difikirkan sesuai oleh presiden, jadi dia boleh jadi menteri besar.

“Itu kita serah pada pucuk pimpinan,” katanya lapor akhbar arus perdana itu.

Eddin Syazlee tawaran itu dicadangkan Bersatu bagi memastikan gabungan pimpinan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memenangi kerusi itu pada PRN kelak.

Justeru itu, Eddin Syazlee berkata, sekiranya Khairy menyertai PN, ia akan menjadi nilai tambah kepada gabungan itu.

Dalam pada itu, Eddin Syazlee menegaskan, gabungan itu masih belum pasti status terkini Khairy selepas beliau dipecat UMNO.

“Tapi sehingga kini kita tak tahu status sebenar KJ (selepas dipecat dari UMNO),” katanya lagi.

Sebelum ini, tawaran sama disampaikan Bersatu Selangor yang berkata, pihaknya terbuka sekiranya Khairy mahu bertanding pada PRN di Selangor.

Malah Timbalan Pengerusi Bersatu Negeri Selangor, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, tiada sebarang halangan dan terpulang kepada Khairy untuk membuat pertimbangan sewajarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cuba la.. calonkan la lawan tok mat kt rantau.. kalu menang memang hebat.. tp macam ke laut je tu.. hang kat kolo pilah pun ke laut.. masih tido ka?

Comments are closed.