Aiman Athirah Sabu

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius kes seorang doktor mencabul pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Wad Kanak-Kanak Hospital Kemaman, Terengganu kelmarin.

Timbalan menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya memuji tindakan segera polis menahan doktor berkenaan sebaik menerima laporan daripada ibu mangsa.

Beliau berkata, perbuatan itu boleh dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Saya memandang serius kejadian itu dan memuji tindakan cepat polis menangkap doktor berkenaan untuk siasatan. Saya difahamkan, ibu mangsa telah membuat laporan polis pada malam Rabu selepas anaknya memaklumkan suspek yang merawatnya telah membuka baju dan meraba dada serta merakam gambarnya melalui telefon bimbit milik suspek.

“Kejadian berlaku di bilik rawatan wad tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di Kuala Terengganu hari ini, media melaporkan, seorang doktor di Hospital Kemaman ditahan polis selepas dipercayai mencabul seorang pesakit kanak-kanak perempuan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, doktor berusia 30 tahun itu ditahan pada jam 1.50 tengah hari semalam, selepas polis menerima laporan yang dibuat ibu mangsa pada malam Rabu.

Katanya, telefon bimbit milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.

Menurut Aiman Athirah, seseorang yang menyentuh mana-mana bahagian seorang kanak-kanak boleh dituduh di bawah seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Jelasnya lagi, seseorang yang ditahan di bawah seksyen itu boleh direman sehingga 14 hari dengan permohonan reman pertama tujuh hari dan boleh disambung reman untuk tujuh hari lagi.

“Saya bersama KPWKM akan mengikuti perkembangan kes ini secara rapat. Saya menyeru agar siasatan rapi dan teliti dibuat apatah lagi berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar dalam telefon suspek menunjukkan kemungkinan lebih ramai kanak-kanak perempuan telah menjadi mangsa.

“Secara umumnya, kesalahan di bawah Seksyen 14 ini merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin dan ini dengan sendirinya menjelaskan betapa kesalahan ini adalah sangat serius, apatah lagi suspek tersebut merupakan seorang doktor perubatan yang senantiasa akses kepada masyarakat khususnya kanak-kanak.

“Saya menggesa agar suspek yang terlibat turut digantung tugas sehinggalah kes ini selesai dan mangsa serta keluarganya perlu diberikan perlindungan seandainya mahkamah memberikan jaminan,” katanya.

Katanya, kes amang seksual itu wajar diperangi habis-habisan dengan semua pihak mengambil tindakan yang paling serius dan tegas tidak kira ia dilakukan oleh pemangsa berpangkat apa sekali pun.

“Tindakan keji seperti ini sangat merosakkan emosi dan masa depan kanak-kanak dan saya bersama KPWKM senantiasa komited memastikan keselamatan serta kebajikan khususnya kanak-kanak terus diberikan keutamaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast