Anthony Loke

PUTRAJAYA – Sebanyak RM96 juta setahun dapat dijimatkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi pendigitalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan lesen memandu persendirian.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, penjimatan itu akan digunakan bagi proses menambahbaik proses pendigitalan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, penjimatan itu boleh dibuat melalui pelekat yang dicetak dan lesen yang dikurangkan.

“Penjimatan itu akan digunakan secara dalaman, iaitu langkah menaik taraf aplikasi dan pendigitalan. Kita (MOT) mendapat sokongan penuh dari pihak Kementerian Kewangan kerana tidak memerlukan peruntukan tambahan,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Menurut Anthony, rakyat juga mendapat manfaat ketika memperbaharui lesen kerana tidak perlu membayar caj kepada pihak ketiga bagi penghantaran pelekat secara fizikal.

Malah, katanya, banyak lagi perkara lain dapat dijimatkan dari segi urusan termasuk masa dan tenaga bagi mereka yang sering menggunakan khidmat terus di kaunter.

Terdahulu, pada sidang media itu, Anthony Loke mengumumkan, orang awam tidak lagi perlu memaparkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau ‘roadtax’ dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian secara fizikal bermula hari ini.

Ini kerana, pemandu boleh menggunakan mod paparan LKM digital (e-LKM) dan LMM digital (e-LMM) menerusi langkah pendigitalan dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Inisiatif itu dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuk motosikal bagi rakyat Malaysia.

Langkah itu juga bertujuan mengatasi isu pelekat LKM yang kerap rosak dan bermasalah sebelum ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tidak perlu lagi papar cukai jalan pada kenderaan – Menteri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast