rasuah kit siang RCI
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat mengapa kedudukan negara ini dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI CPI) semakin merosot sejak 1995.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, RCI tersebut juga perlu mencari jalan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara terbaik di dunia dari segi integriti awam dan pencegahan rasuah.

Menurut beliau, sejak TI CPI mula diperkenalkan pada 1995, Malaysia bukan sahaja gagal menduduki 10 tangga teratas, malah kedudukannya kini lebih rendah daripada negara-negara seperti Arab Saudi, Croatia, Mauritius dan Vanuatu serta sama dengan Jordan.

“Melainkan kita melakukan penambahbaikan, kita akan dipintas oleh Armenia, China, Cuba, Bahrain, Jamaica, Oman, Benin, Bulgaria, Ghana, Senegal, Afrika Selatan, Burkina Faso, Hungary, Kuwait, Timor-Leste, Vietnam, Kosovo, Guyana, India, Maldives, Surinam dan Tunisia menjelang penghujung dekad ini.

“Malah sejak 1995, Indonesia menunjukkan peningkatan kepada 34 daripada 100 markah dalam TI CPI 2022 sedangkan Malaysia menyusut kepada 47 markah.

“Adakah kita menunggu masa sahaja untuk Indonesia memintas Malaysia, sekali gus menunjukkan kepada dunia bahawa Indonesia adalah lebih bersih dan kurang rasuah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kit Siang menjelaskan, pada 1995, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 41 negara di mana India di tangga ke-35, China di tangga ke-40 dan Indonesia di tangga terakhir.

Beliau memberitahu, tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-61 daripada 180 negara, China di tangga ke-65, India di tangga ke-86 dan Indonesia di tangga ke-110.

“Apakah mungkin Malaysia akan berada di bawah China, India dan Indonesia dalam TI CPI yang dikeluarkan sebelum ulang tahun ke-100 negara pada 2057?” soalnya.

Kit Siang menambah, Malaysia juga mungkin ketinggalan berbanding negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang lain sekiranya kedudukan dalam TI CPI terus merosot. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast