KUALA LUMPUR – Ustaz dan anggota polis antara ribuan mangsa permainan kutu Skim Saving Sapiza melibatkan kerugian antara RM10,000 hingga RM200,000.
Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dalam sidang media bersama mangsa penipuan skim itu di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa terpedaya dengan skim itu kerana menawarkan pembayaran ekstra sebanyak 60 peratus dari jumlah pelaburan, iaitu suatu kadar yang tidak pernah dijanjikan oleh mana-mana institusi kewangan serta pelaburan yang sah.
Katanya, berikutan janji itu, ramai tertarik termasuk bergelar ustaz, puluhan anggota polis, ratusan penjawat awam dan ribuan individu.
“Hasilnya, bayaran pelaburan itu tidak dibuat oleh penganjur skim berkenaan dan ramai merasa tertipu lalu membuat laporan polis.
“Kami difahamkan, penganjur skim itu yang dikenali sebagai ‘ibu kutu’ bersama tujuh ejennya telah ditangkap oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman semalam dan akan dikenakan tahanan reman untuk siasatan.
“Kerugian keseluruhan melibatkan ribuan pemain kutu di seluruh negara dianggarkan puluhan juta ringgit,” katanya pada sidang media bersama Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan di sini hari ini.
Seramai 25 mangsa skim penipuan pelaburan kutu itu hadir dan rata-rata mereka dari Johor.
Hishamuddin menyatakan, apa yang membimbangkan pihaknya ialah ibu kutu dan ejen terbabit akan diserahkan kepada agensi berkaitan iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.
Katanya, beliau bimbang, SSM menerusi Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan hanya membuat tuduhan bawah akta larangan dengan hukuman maksimum hanya RM500,000 atau penjara.
“Berdasarkan trend mahkamah, kita dapati bila ada hukuman berkonsep pilihan seperti ini, mahkamah lebih cenderung memberikan hukuman dalam bentuk denda.
“Sedangkan, jenayah yang dilakukan ibu kutu itu sangat berat dan wajar dipenjara serta didenda dengan kadar yang setimpal.
“Bayangkan sekiranya denda dikenakan RM500,000 sedangkan ibu kutu memperoleh puluhan juta daripada penipuan itu, adakah ini akan mencapai tujuan untuk memberi pengajaran kepada individu lain yang terlibat dalam skim penipuan?, soalnya.
Sehubungan itu, beliau merayu kepada NFCC supaya siasatan dibuat secara menyeluruh termasuk melibatkan polis yang akan menyiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kata Hishamuddin, siasatan di bawah Seksyen 420 KK menetapkan hukuman lebih berat iaitu pemenjaraan maksimum 10 tahun dan denda bukan sekadar dikenakan denda sahaja.
Beliau turut menyeru semua mangsa di seluruh negara tampil membuat laporan polis.
Katanya, ramai mangsa takut berbuat demikian kerana diugut oleh agen skim berkenaan, kononnya duit mereka akan lesap kalau membuat laporan polis.
“Buat atau tak buat (laporan polis), mereka tetap tak dapat semua duit itu,” katanya. – MalaysiaGazette