Noor Hariri Mohamed Noor

KOTA BHARU – Pemuda UMNO Kelantan menyambut baik gandingan Datuk Hasmuni Hassan yang menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Hairi Mad Shah calon Naib Ketua Pemuda.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor yakin, mereka berdua dapat meneruskan agenda memperkasakan ahli pemuda di cawangan seluruh negara dengan tema ‘Terus Bangkit’.

Menurut beliau, pengalaman Hasmuni sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia sebelum ini tentunya lebih arif dan masak dengan kehendak akar umbi pemuda di setiap Bahagian.

“Kematangan dan kebijaksanaannya dalam membuat keputusan amat ditagih dalam membawa Pemuda ke arah lebih baik, bukan sekadar meraih populariti sahaja.

“Hairi pula tentunya dapat berperanan lebih besar jika dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda dalam meneruskan agenda pemerkasaan anak muda.

“Pengalaman politik beliau selama lima tahun sebagai Ketua Pemuda UMNO Johor dan pengalaman mentadbir dalam kerajaan sebagai Exco Belia dan Sukan Negeri tentunya memberi kelebihan dalam mencorak kanvas politik baru dalam menarik kembali sokongan anak muda kepada UMNO,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau menyeru perwakilan Pemuda seluruh negara untuk memilih kedua pemimpin muda itu dan tentunya tanggungjawab besar menanti gandingan mereka berdua dalam menyiapkan perancangan serta melaksanakan gerak kerja ke arah PRU16 nanti.

Yang pasti, kata Hariri, misi menawan kembali hati pengundi muda menjadi resipi utama dalam manifesto Pemuda UMNO.

Jelas beliau, bermula 2018, ‘Pemuda Bangkit Kembali’ daripada kekalahan, manakala 2023 akan ‘Terus Bangkit’ dalam meluaskan agenda untuk agama, bangsa dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast