rakyat
Mohamad Sabu

SEREMBAN – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengatasi masalah kekurangan pekerja yang menjadi antara faktor kekurangan bekalan telur ayam menjelang bulan Ramadan ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia sedang berusaha untuk menambahkan pekerja dalam sektor pertanian dan sektor yang lain bagi tujuan itu.

“Kementerian sedang mengatasinya (masalah bekalan telur ayam), memang setiap kali menjelang perayaan, pengunaan telur ayam lebih tinggi, masalah kekurangan telur ini juga dihadapi negara lain.

“Kebimbangan tetap ada, masuk sahaja Ramadan, pengunaan telur dan bahan yang lain akan meningkat, sebab itu kita kena bincang dengan pihak pengusaha supaya melipat gandakan pengeluaran daripada sekarang, itu kita harapkan.

“Kalau mereka tidak cukup pekerja kita cuba (atasi) dengan memberi laluan mudah untuk menambahkan pekerja, masalah utama pengusaha selain kenaikan harga makanan adalah kekurangan pekerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media tempatan mengenai keluhan pengusaha kuih raya yang bimbang perniagaan mereka terjejas susulan kekurangan bekalan telur ayam menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti.

Sementara itu Mohamad berkata kerajaan Malaysia akan terus menyokong dan bersuara dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Katanya program tentang kesedaran memperjuangkan rakyat Palestin perlu diteruskan dan kini semakin banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara Eropah memberikan sokongan kepada rakyat Palestin.

“Ahli Parlimen di Eropah juga berani mengecam sikap kerajaan mereka yang terus membantu kerajaan Israel yang membunuh rakyat Palestin setiap hari,” katanya.

Sementara itu Penasihat ICPKL 2023 Dr Fauziah Mohd Hasan berkata 500 delegasi daripada 20 negara turut menyertai program hari ini yang bertemakan ‘The Caged Eye’, iaitu simbolik solidariti kepada penderitaan tahanan rakyat Palestin dikurung dalam penjara rejim Zionis.

Dr Fauziah berkata 4,450 warga Palestin dipenjara oleh pihak rejim Zionis termasuk 160 kanak-kanak dan 32 wanita. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast