Logo UPM

SERDANG – Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB) Universiti Putra Malaysia (UPM) memeterai persefahaman kebudayaan dan pendidikan dengan Universitas Padjajaran (UNPAD), Bandung, dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta, Indonesia baru-baru ini.

Pengetua Kolej KMB, Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni berkata, kolaborasi antarabangsa itu memberi pendedahan pelajar antara universiti untuk mempelajari aspek budaya, ekonomi, pendidikan dan perubatan.

”Program ini akan menjadikan pelajar UPM lebih terbuka dalam memberikan pendapat, berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti kemanusiaan serta mempelajari budaya dan pendidikan di Indonesia,” katanya.

Menurut beliau, persefahaman itu sempena program mobiliti KMB Global Outreach untuk mewujudkan jaringan ampuh bersama pelajar dari Indonesia serta berkongsi pengetahuan akademik, kesukarelawanan, aktiviti kebudayaan dan pembelajaran sepanjang hayat.

 

”Lawatan ke fakulti perubatan dan sains sosial di UGM dan UNPAD serta program pertukaran budaya turut dijalankan. Program ini juga adalah rentetan memorandum persefahaman oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Pertanian UPM dengan UGM dan UNPAD yangb telah ada sebelum ini,” ujar Dr. Jasronita.

Pengarah program KMB Global Outreach, Alan David berkata, pelajar KMB UPM juga telah menjalankan kegiatan kesukarelawanan kemahiran komunikasi dan kreativiti visual bersama anak-anak yatim di Panti Asuhan Muhammadiyah, Bandung.

Katanya, program tersebut diharapkan dapat melahirkan pelajar yang cemerlang sahsiah, akademik dan kokurikulum sejajar dengan Matlamat 1 dan 3 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang dan Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri dan Masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast