Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Mengambil maklum desakan segelintir untuk membatalkan lantikan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai Duta Amerika Syarikat (AS), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tersebut akan menimbulkan banyak masalah.

Ini kerana pelantikan Nazri sudah dilakukan sejak setahun yang lalu, malah lantikan itu juga mengambil masa enam bulan untuk disahkan oleh AS.

Bagaimanapun, Anwar mengakui beliau pernah memohon pelantikan itu ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada lantikan jemaah menteri.

“Orang kadang-kadang buat teguran terburu-buru. Lantikan sudah dibuat hampir setahun yang lalu, ambil masa enam bulan untuk AS sahkan lantikan itu. Membatalkan lantikan itu sekarang akan menimbulkan banyak masalah ketika ini.

“Teguran boleh tetapi serangan itu seolah-olah kita yang bertanggungjawab, proses pengesahan oleh AS itu sangat panjang. Saya sebelum ini telah memohon kepada YDPA untuk ditangguhkan dan diberikan masa kepada saya.

“Saya susun jemaah menteri dan saya maklumkan kepada barisan jemaahmenteri, tegurlah tapi tanya dulu ambil maklum dulu,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Anwar mengulas kritikan terhadapnya susulan pengumuman pelantikan Nazri sebagai Duta AS baru-baru ini.

Beliau antara 10 ketua perwakilan diplomatik Malaysia yang menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Abdul Karim yang mengkritik lantikan Nazri menegaskan jawatan duta perlu dikhaskan kepada diplomat yang mahir dalam hal ehwal antarabangsa.

Pelantikan Nazri sebagai duta sudah kedengaran sejak awal tahun lalu, namun ketika itu namanya dicadangkan sebagai Duta Besar Malaysia Ke Switzerland, yang diusulkan ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

Pengesahan selepas itu datang dari Nazri yang memberitahu beliau menolak jawatan itu kerana perlu melepaskan keanggotaannya sebagai ahli Parlimen, pada masa sama Kementerian Luar turut menafikan pencalonan beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Switzerland ditolak negara itu. -MalaysiaGazette

Nazri Aziz dilantik Duta Besar ke Amerika Syarikat