Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Shukri Shamsudin bersama NGO mahu SPRM tegas menyiasat isu dakwaan rasuah MAINS.

SEREMBAN – UMNO Bahagian Rembau mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih telus menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan wang zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Shukri Shamsudin berkata, desakan itu dibuat susulan kenyataan mengelirukan daripada pihak SPRM berhubung isu terbabit.

“Selepas membaca pendedahan dalam laman sosial baru-baru ini, saya telah bertindak dan hadir ke pejabat SPRM di Putrajaya untuk membuat laporan pada 7 Februari lalu.

”Tetapi saya diberitahu tiada satu dokumen laporan mengenai kes terbabit dikesan atau diterima oleh SPRM.

“Kemudian dua hari selepas itu Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dalam satu kenyataan mendakwa pihak SPRM telah menerima laporan pada 2019 dan selesai menyiasat pada tahun sama dengan keputusan tiada unsur rasuah berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, kata Shukri, kenyataan Awangkok pada Khamis lepas agak mengelirukan serta menggambarkan seolah-olah SPRM mengambil mudah isu berkenaan walaupun jumlah wang zakat itu agak besar.

Seandainya perkara itu tidak mendapat maklum balas yang sepatutnya maka pihaknya akan mula mengumpulkan memorandum daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Negeri Sembilan bagi menyatakan solidariti dan sokongan akan usaha membersihkan semula imej serta maruah institusi agama Islam.

“Saya dan rakan-rakan dalam NGO yang ada akan memantau perkembangan isu terbabit secara dekat dan tidak menolak kemungkinan akan memohon menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Undang yang Empat bagi meminta campur tangan mereka,” tegasnya.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof turut memberitahu kes terbabit masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

Pada masa sama, MAINS menafikan tohmahan itu dan menyifatkan ia adalah fitnah yang disebar melalui media sosial.

Susulan daripada itu, SPRM Negeri Sembilan pula mendakwa siasatan berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan MAINS tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast