KUALA LUMPUR – Nama bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus melonjak apabila dia disenaraikan dalam kalangan 11 ‘wonderkid’ (bintang muda) termahal di Asia Tenggara.
Pengiktirafan itu dibuat media Thailand, Main Stand yang menyenarailan 11 nama pemain muda paling bernilai di mana Arif Aiman berada di kedudukan kedua selepas pemain muda Thailand, Suphanat Mueanta.
Arif Aiman yang memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia kini dinilai di pasaran sebanyak 400,000 euro (RM1.8 juta).
Nilai itu berdasarkan beberapa faktor terutama prestasi cemerlang Arif Aiman bersama skuad kebangsaan dan kelab JDT.
Sementara itu, Mueanta memegang status pemain muda paling bernilai tinggi di Asia Tenggara dengan nilai pasaran RM3.24 juta.
Bintang Buriram United berusia 20 tahun itu meledak sembilan gol sepanjang 22 perlawanan dalam semua kejohanan bersama kelab itu.
Selain itu, turut berada dalam senarai terbabit adalah pemain import Selangor FC dari Myanmar, Hein Htet Aung yang menduduki tempat ketiga dengan nilai pasaran RM811,017.
Anak kepada legenda Singapura, Ilhan Fandi pula menduduki di tangga kelapan dengan nilai pasaran RM695,203. – MalaysiaGazette