Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyesorkan kepada Radia Televisyen Malaysia (RTM) supaya mewujudkan saluran khusus yang menayangkan acara sukan secara percuma pada suku kedua tahun ini.

Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, walaupun ketika ini perlawanan sukan boleh ditonton menerusi aplikasi RTMKlik tetapi masih ramai lagi rakyat di negara ini tidak mempunyai telefon pintar.

“Saya minta RTM untuk pertimbang wujudkan satu saluran televisyen khas sukan. Sebelum ini kita ada saluran sukan melalui RTKMklik tapi bagi ramai yang tidak ada telefon pintar.

“Saya nak kalau boleh kita ada satu saluran percuma untuk RTM sukan. Saya sudah minta pihak pengurusan supaya kita boleh laksanakan. Bukan boleh atau tidak, tapi bila,” katanya kepada media ketika Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Lembah Pantai di Taman Sri Sentosa, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada saluran itu akan bersiaran selama 24 jam, Ahmad Fahmi berkata, perkara tersebut bergantung kepada isi kandungan saluran serta kos yang akan diperuntukkan.

“Sekarang banyak daripada Liga Bola Sepak tempatan di RTM2. Kadang kala bila kita ada siaran sukan tertentu kadang RTM1 atau RTM2. Kalau kita ada satu yang dedikasi ia akan bantu untuk mengosong sedikit di siaran-siaran tertentu.

“Jadi perkara ini perlu dipertimbang kerana akan ada implikasi kewangan dan ini saya minta pihak penyiaran untuk kaji dan harapan saya kita boleh melancarkan siaran khusus untuk sukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette