Polis memeriksa keadaan mayat yang ditemui terapung di tebing Sungai Langat di Kampung Labohan Dagang di Bukit Changgang, Banting semalam.

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki ditemukan terapung 10 meter dari tebing Sungai Langat di Kampung Labohan Dagang di Bukit Changgang, Banting semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu kira-kira jam 12.15 tengah hari.

“Siasatan mendapati mayat merupakan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang berasal dari Kuala Selangor dan bekerja sebagai pemandu lori.

“Mayat lengkap berpakaian itu dijumpai oleh seorang lelaki Orang Asli yang sedang memancing di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Ridhwan berkata, pemeriksaan pada mayat itu tidak menemukan sebarang kecederaan selain beberapa dokumen pengenalan diri mangsa turut dijumpai.

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu, tular video berdurasi 13 saat menerusi akaun Facebook My Kuala Langat yang mendakwa terdapat satu mayat dikatakan hanyut di sebatang sungai di Langat Murni ke Labohan Dagang, Banting. – MalaysiaGazette