PN
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap pada Majlis Semarak Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan anjuran PN Negeri Sembilan dan PN Rembau di Nine Lakes Garden Restaurant Taman Tasik Jaya, Senawang, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2023.

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) dianggap sebagai wadah yang paling sesuai bagi bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk meneruskan kerjaya politiknya.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hasrat Khairy untuk melawan kemungkaran dan memperbaiki sistem penyampaian kerajaan adalah selari dengan perjuangan gabungan politik berkenaan.

Beliau juga mengakui telah menghubungi Khairy namun bekas Ahli Parlimen Rembau itu belum membuat keputusan berhubung kesediaan PN memberi laluan kepadanya untuk diketengahkan sebagai calon Menteri Besar sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Biar dia buat keputusan tapi pada masa yang sama kami sentiasa bertukar-tukar fikiran, cari jalan bagaimana kita hendak jadi pemimpin yang lebih baik, memenangi hati rakyat agar kami dapat menubuhkan sebuah kerajaan yang mantap, stabil yang paling penting prihatin dan bersih di Negeri Sembilan,” katanya.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Semarak Kebangkitan Rakyat anjuran PN Negeri Sembilan di Senawang di sini, hari ini.

Kelmarin, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith dilaporkan bersedia untuk menawarkan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Khairy sekiranya beliau mahu bertanding atas tiket PN pada PRN nanti.

Ahmad Faizal menambah, Khairy merupakan seorang pemimpin yang baik, diterima oleh sebahagian besar rakyat dan menunjukkan prestasi yang cukup baik semasa menjadi Menteri Kesihatan dahulu.

Beliau juga melihat bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau itu didambakan oleh pelbagai parti politik.

“Namun, apa juga keputusan beliau saya amat hormati sebagai seorang sahabat,” jelasnya.

Sekiranya Khairy menolak tawaran itu, Ahmad Faizal berkat, PN mempunyai ramai lagi tokoh yang boleh diangkat sebagai pemimpin. – MalaysiaGazette