Datuk Seri Michael Chong

PETALING JAYA – Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong melahirkan rasa kecewa apabila masih terdapat rakyat Malaysia yang menanggung risiko untuk bekerja di luar negara walaupun media telah mendedahkan pelbagai kes penipuan pekerjaan.

Michael juga percaya, mereka yang menuju ke luar negara baru-baru ini adalah dalam keadaan menyedari bahawa mereka mungkin berdepan bahaya.

Katanya, mereka tetap memilih bekerja di luar negara kerana tertarik dengan gaji lumayan.

“Bukan semua orang yang diselamatkan adalah mangsa penipuan, tetapi ada yang sanggup dikawal oleh sindiket atas faktor peribadi.

“Mereka ke luar negara tanpa pengetahuan ahli keluarga dan ahli keluarga ingat mereka tertipu dan meminta bantuan polis, kedutaan dan juga parti politik,” katanya kepada Sinchew Daily.

Michael berkata, walaupun menyedari terdapat orang yang secara sukarela bekerja di luar negara dengan menyedari risiko yang ada, tetapi pihaknya tetap akan membantu.

Menurutnya, aduan yang diterima mengenai penipuan pekerjaan juga telah menurun secara mendadak kebelakangan ini.

Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, sindiket telah menghantar mangsa dari Malaysia ke pelbagai tempat berasingan di Myanmar sehingga menyukarkan usaha menyelamatkan mereka.

“Sejak November, boleh dikatakan hampir tiada mangsa Malaysia yang diperdagangkan ke Kemboja dan Laos dan mereka yang masih berada di situ adalah mereka yang dikurung lebih awal.

“Sindiket telah berpindah ke tempat-tempat berlainan di Myanmar dan keadaan ini menyukarkan usaha menyelamatkan mangsa.” – MalaysiaGazette