Onn Hafiz Ghazi (kanan depan) berjabat tangan dengan wakil syarikat yang ditemuinya dalam lawatan ke Singapura, semalam.

KUALA LUMPUR – Johor berpotensi menarik pelaburan sekitar RM10 bilion hingga RM15 bilion daripada beberapa syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Singapura.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, selain ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk Johor, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana hasil pelaburan ini, sudah tentu akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat di negeri ini.

”Kesemua ini menunjukkan Johor terus kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pemain-pemain industri bertaraf global,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau yang mengadakan lawatan tiga hari ke Singapura bermula semalam telah menemui wakil beberapa syarikat antarabangsa termasuklah AirTrunk, sebuah syarikat pusat data skala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun serta firma Wilhelmsen, salah satu kumpulan maritim terkemuka di peringkat global.

Onn Hafiz juga telah berjumpa dengan beberapa lagi pelabur berpotensi dari lain-lain negara.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Johor dengan bantuan Kerajaan Persekutuan komited untuk menjadi pemudahcara daripada segi penyediaan utiliti dan infrastruktur, sehinggalah kepada insentif cukai, bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast