PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan semula denda sebanyak RM10,000 yang dikenakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri merangkap Exco kerajaan negeri Perak, A Sivanesan kerana salah laku profesional yang dilakukan 13 tahun lalu.
Sivanesan yang juga bekas peguam melakukan beberapa pelanggaran terhadap Akta Profesion Undang-undang 1976 dan peraturan etiketnya yang antara lain melibatkan memperdaya Mahkamah Perusahaan untuk mempercayai bahawa beliau bertindak bagi pihak plaintif, K Pathmanathan.
Denda itu akan menyebabkan Sivanesan bakal berdepan dengan kehilangan jawatan ADUN yang sedang dipegang ketika ini.
Hari ini, tiga panel hakim iaitu Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan oleh Majlis Peguam Malaysia dan Pathmanathan.
Sebelum ini, Majlis Peguam Malaysia dan Pathmanathan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Disember tahun lalu yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas ia mengekalkan keputusan lembaga tatatertib itu.
Kata Nalini dalam penghakiman, nota prosiding Mahkamah Perusahaan mengesahkan asas bagi penemuan fakta jawatankuasa tatatertib.
Jelasnya, bagi Mahkamah Rayuan untuk membatalkan penemuan fakta jawatankuasa tatatertib berhubung perkara yang berlaku pada 6 April 2010 semata-mata atas keterangan saksi lain.
“Mahkamah Rayuan gagal melihat Sivanesan bertindak untuk Pathmanathan malah memberi aku janji untuk memfailkan borang yang diperlukan untuk pelantikannya walaupun tidak mempunyai arahan untuk berbuat demikian,” katanya.
Pathmanathan telah memfailkan aduan terhadap Sivanesan selepas Mahkamah Perusahaan membatalkan tuntutannya untuk pemecatan tidak adil kerana ketidakhadirannya di mahkamah pada pada 13 Jun 2016. – MalaysiaGazette