Pemain piano terkenal, Maksim Mrvica

KUALA LUMPUR – Pemain piano terkenal, Maksim Mrvica bakal mengadakan persembahan solo di Kuala Lumpur pada siri jelajah The Collection di Dewan Pleno, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam esok.

Pemain piano luar biasa kelahiran Croatia itu akan mempersembahkan pelbagai lagu hit terhebat sepanjang zaman daripada Coldplay, John Legend dan Queen.

Maksim juga akan memperdengarkan muzik daripada filem seperti The Godfather, Pirates of the Caribbean dan Game of Thrones, karya agung klasikal oleh Liszt dan Chopin serta karya daripada 10 albumnya termasuk Flight of the Bumblebee dan Exodus.

Pernah merangkul anugerah di Anugerah Muzik MTV dan pelbagai pertandingan muzik antarabangsa berprestij ini, Maksim dianggap antara pemain piano classical crossover terkenal di dunia.

Selepas menjuarai Pertandingan Piano Rubinstein di Perancis, Maksim melanjutkan pengajian di The Franz Liszt Academy of Music, Budapest dan Alexander Scriabin Conservatoire, Paris.

Kontrak pertama Maksim bersama syarikat rakaman EMI menyaksikan terhasilnya album Piano Player yang mencatat jualan lebih empat juta keping di seluruh dunia.

Maksim Mrvica.

Maksim turut menerima Platinum Ganda di Hong Kong serta status emas di Singapura dan negara lain dan pernah menjelajah 20 bandar di Jepun yang boleh dikatakan siri jelajah terbesar oleh artis antarabangsa.

Susulan kejayaan jelajah itu, Maksim dijemput Moscow Philharmonic Orchestra untuk persembahan solo dan Chopin Society di Warsaw sempena ulang tahun kelahiran ke-200 Chopin.

Maksim juga mendapat jemputan khas ke Royal Philharmonic Orchestra di London.

Pencapaiannya terserlah menerusi karyanya yang terangkum dalam album rasmi Sukan Olimpik, menerima anugerah MTV bagi Album Crossover Sulung Terbaik serta mencecah lebih 150 juta tontonan di YouTube.

Tiket menyaksikan Maksim di Kuala Lumpur boleh didapati dengan melayari https://tsasia.sales.ticketsearch.com/sales/salesevent/92014.

Peminat juga boleh mendapatkan maklumat dengan mengikuti @HarmonieInternational di Facebok. – MalaysiaGazette