Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra mengutuk keras kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang didakwa biadab kerana menghina perkhidmatan awam dan orang Melayu.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif dengan tegas menyatakan, kenyataan pemimpin DAP itu membuktikan perpaduan dan kepelbagaian bangsa yang konon diamalkan parti itu selama ini hanya sandiwara politik dan retorik.

Kata beliau, sikap berdolak dalih Ramasamy yang menyalahkan pengamal media konon memutar belit kenyataan beliau adalah alasan rapuh selepas menerima kecaman.

“Sebelum ini dia berhempas pulas mempertahankan kumpulan pengganas LTTE serta sentiasa membuat provokatif terhadap sejarah kepimpinan orang Melayu yang sehingga kini beliau masih angkuh dan enggan memohon maaf atas segala penghinaan terhadap orang Melayu.

“Tidak ada seorang pun dari kalangan pemimpin DAP yang berani menegur atau mengecam secara terbuka atau mengambil tindakan terhadap Ramasamy seperti beliau mempunyai permit kekebalan yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ramasamy dilaporkan berkata, penguasaan perkhidmatan awam oleh satu komuniti etnik iaitu Melayu perlu ditangani oleh Kerajaan Perpaduan.

Alasannya orang bukan Melayu menjauhkan diri daripada perkhidmatan awam kerana kekurangan prospek kenaikan pangkat tidak boleh diterima.

Unsur penghinaan terhadap orang Melayu itu dihasilkan dalam tulisannya bertajuk Ossified public service badly in need of reform.

Nasrul Ali Hasan turut kesal dengan kenyataan balas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang hanya sekadar menyatakan DAP ada caranya sendiri untuk selesaikan isu Ramasamy.

Ujar beliau, kenyataan Menteri Pengangkutan itu jelas membuktikan tiada ketegasan dalam DAP untuk menjamin kedamaian sekali gus menolak sifat rasis pemimpinnya dalam membangun negara.

“Bagaimana Perdana Menteri ke-10 boleh membiarkan seorang yang rasis dalam pasukan kerajaannya bebas membuat provokasi terhadap bangsa majoriti dan sentiasa membuat kenyataan berbaur perkauman?

“Lebih teruk lagi, mengapa tidak ada seorang pun pemimpin dari DAP, PKR, Amanah lebih lagi dari UMNO mengutuk kenyataan biadap Ramasamy yang seakan mencabar umat Melayu mengenai jawatan penjawat awam itu?” soalnya.

Wira Putra menggesa Ramasamy segera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khusus penjawat awam.

“Penjawat awam melaksanakan tugas bagi menjalankan fungsi kerajaan dan ia tidak wajar dipolitikkan, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast