Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy sebagai penghinaan kepada perkhidmatan awam dan orang Melayu.

Bagaimanapun, Naib Presidennya, Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin tidak terkejut dengan kenyataan berkenaan kerana itu suara hati DAP yang diketahui umum alergik kepada sesuatu yang didominasi oleh orang Melayu.

Katanya, apabila DAP menguasai kerajaan, sudah tentu usaha untuk memecahkan dominasi itu menjadi tumpuan utama mereka.

“Saya membaca tulisannya bertajuk Ossified public service badly in need of reform. Dalam ayat mudahnya, Ramasamy berkata, perkhidmatan awam Malaysia telah lapuk atau tepu dan amat-amat perlu direformasikan.

“Tulisan Ramasamy mengaitkan jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi oleh orang Melayu adalah punca menyebabkan perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu.

“Beliau seterusnya mendesak supaya “dominasi Melayu” dalam perkhidmatan awam dihentikan. Dengan kata lain, penyelesaiannya untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah pecahkan dominasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Ramasamy dilaporkan berkata, penguasaan perkhidmatan awam oleh satu komuniti etnik iaitu Melayu perlu ditangani oleh Kerajaan Perpaduan.

Alasannya, orang bukan Melayu menjauhkan diri daripada perkhidmatan awam kerana kekurangan prospek kenaikan pangkat tidak boleh diterima.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, perjuangan rasisme atau perkauman melampau sebegini jika tidak dibentung boleh menghancurkan masa depan tanah air tercinta.

Ujar beliau, walaupun DAP cuba menunjukkan kononnya mereka bersemangat Malaysia dan menghormati masyarakat pelbagai kaum tetapi sikap rasis itu ternyata masih amat tebal dalam diri mereka.

“Adakah perkhidmatan awam di Malaysia menindas kaum bukan Melayu? Saya fikir kalau benar begitu, Ramasamy pun tak boleh jadi profesor di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) kerana UKM didominasi oleh orang Melayu.

“Selain Ramasamy, ramai juga profesor bukan Melayu di UKM, iaitu sebuah universiti yang ditubuhkan atas semangat kebangsaan Melayu.

“Begitu juga di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang lain. Ramai pegawai bukan Melayu diterima masuk dalam perkhidmatan awam dan dinaikkan pangkat atas merit serta kecemerlangan perkhidmatan mereka.

“Ada yang jadi KSU, TKSU, Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah. Ada juga yang menjadi SME dalam bidang kepakaran masing-masing. Ini bukan perkara baharu,” tambahnya.

Kata Ahli Parlimen Putrajaya itu, sekarang Ramasamy mahu kerajaan campuran PH-BN melakukan reformasi dalam perkhidmatan awam.

“Kita tahu reformasi bagi DAP hanyalah istilah untuk menghalalkan rombakan besar-besaran kepada asas kenegaraan dan perlembagaan negara yang sekian lama menjadi pasak mengekalkan keharmonian Malaysia sebagai negara majmuk.

“Perdana Menteri tentunya sukar untuk berkeras dengan DAP kerana parti tersebut mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan campuran PH-BN.

“Keberadaan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah atas ihsan DAP. Maka untuk kekal sebagai Perdana Menteri, hubungan dengan DAP serta aspirasi parti itu mestilah diberi keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette