Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat telah direman selama empat hari untuk membantu siasatan kes sindiket pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi pembekal perkhidmatan umrah.

Menurut sumber, lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu direman bermula semalam.

“Individu itu yang ditahan SPRM telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi proses permohonan reman sebelum dibenarkan tempoh reman selama empat hari sehingga 15 Februari ini.

“Siasatan masih dijalankan dan SPRM tidak tolak kemungkinan akan menahan beberapa lagi individu bagi mengesan dokumen berkaitan,” kata sumber malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi telah mengesahkan penahanan reman terhadap individu itu.

Katyanya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiket umrah: Pengarah syarikat diberkas SPRM

Sindiket agih kuota tiket penerbangan umrah terbongkar

Pada Sabtu lalu, SPRM membuat tangkapan ke atas lelaki itu di Lembah Klang berhubung skandal tersebut.

Terdahulu, pada Khamis lepas, SPRM telah melakukan tangkapan ke atas enam individu berusia 34 hingga 55 tahun terdiri daripada pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan membabitkan enam buah syarikat menerusi operasi khas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Tangkapan kesemua individu itu berjaya membongkar kegiatan sindiket menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisyen.

Modus operandi sindiket ialah mengenakan bayaran rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket bagi jemaah umrah.

Bayaran ini bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

Sindiket itu dipercayai telah aktif dalam kegiatan berkenaan sejak 2018 lagi dan setakat ini dipercayai sebanyak 216,000 tiket telah diagihkan dengan bayaran rasuah sekurang-kurangnya berjumlah RM10.8 juta.- MalaysiaGazette