KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Masjid Tanah mempersoalkan ketiadaan sebahagian besar wakil Kerajaan Perpaduan di Dewan Rakyat hari ini.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang) itu berkata, ia berlaku tatkala sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengambil tempat.
“YB, tengok ini barisan depan no satu dan dua blok kerajaan. Kosong sangat ini. Apa sudah jadi? Kerajaan kot,” ciapnya di Twitter hari ini.
Ciapan itu bagi membalas Twitter awal Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang mendakwa tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang tidak menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada sebelah pagi hari ini.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa beberapa pemimpin tersebut antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. – MalaysiaGazette