KUALA LUMPUR – Bekas Penasihat yang juga Pengarah Bahagian Hubungan Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Faisal Muhamad dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat hari ini.
Turut dilantik ialah bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, Indonesia.
Surat pelantikan kepada dua pegawai tinggi kerajaan itu diserahkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Putrajaya.
Dr. Ahmad Faisal berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari London School of Economics and Political Science di United Kingdom mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1994.
Sebelum pelantikan itu, beliau merupakan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Switzerland sejak 2019.
Selain pernah berkhidmat di pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di Singapura dan Moscow, Rusia, Dr. Ahmad Faisal pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Myanmar dari tahun 2011 hingga 2014.
Di peringkat Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Setiausaha Bahagian Penyelidikan, Triti dan Perundangan Antarabangsa, Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dan Pegawai Khas kepada Ketua Setiausaha.
Ambassador Nur Izzah pula memiliki kelulusan sarjana dalam bidang Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1996.
Sebelum pelantikan ini, beliau adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand sejak tahun 2018 dan ditauliahkan serentak ke Cook Islands dan Samoa.
Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Inspektorat dan ditugaskan di Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala, Bahagian Asia Timur dan Asia Selatan, Bahagian Penerangan dan Bahagian ASEAN. Beliau juga pernah berkhidmat di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China. – MalaysiaGazette