Menteri Pengangkutan ,Anthony Loke mendengar penerangan daripada artis arca, Pamela Tan berkenaan hasil seni beliau yang bertajuk “Sunnyside Up” pada majlis perasmian ‘Arts on the Move’ di MRT Pasar Seni, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menambah ciri keselamatan kepada pengguna dalam pendaftaran aplikasi MyJPJ, berkuatkuasa serta-merta.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ciri keselamatan yang mensyaratkan pengguna meletakkan nombor lesen memandu bagi mengelakkan ia disalahgunakan pihak tertentu.

“Pagi tadi saya telah meluluskan cadangan daripada pihak JPJ untuk menambah satu lagi ciri dalam pendaftaran (MyJPJ).

“(Selepas ini) mana-mana pihak tidak mudah untuk salah guna nombor kad pengenalan orang lain untuk mendaftar akaun,” katanya pada sidang media di Stesen MRT Pasar Seni, di sini, hari ini.

Tambahnya, ciri keselamatan itu mewajibkan setiap pemohon untuk mengemukakan nombor unik yang tertera di belakang lesen memandu.

“Setiap orang yang mempunyai lesen memandu ada nombor unik di belakang lesen mereka.

“Semasa pendaftaran itu, dia mesti ada nombor ini baru dia boleh daftar.

“Ini untuk memastikan tiada pihak boleh menggunakan nombor kad pengenalan orang lain dengan sewenang-wenangnya untuk daftar ID,” katanya.

Katanya lagi, bagi mereka yang tidak mempunyai lesen memandu pula, mereka perlu mendaftar akaun itu di kaunter JPJ.

“Untuk mereka yang belum mempunyai lesen memandu mereka terpaksa mesti daftar di kaunter JPJ,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast