Prof Datuk Ts. Dr Yuserrie Zainuddin

KUANTAN – Program ijazah dual UMP kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) sejak 12 tahun lalu kini diperluas ke negara China.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, penuntut terlibat akan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda selama dua tahun selepas mengikuti program ijazah dual selama dua tahun setengah di UMP.

“Ijazah Dual UMP bersama HKA dalam kejuruteraan mekatronik, automotif dan elektrikal sudah berjalan selama 12 tahun.

“Kini UMP meneruskan kerjasama bersama Beijing Jiaotong University (BJTU) China dalam bidang Kejuruteraan elektrikal dan elektronik, kejuteraan awam dan mekanikal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Yusserie, seramai 45 pelajar Program Ijazah Dual UMP dan BJTU menyambung pengajian menerusi program berkenaan telah berlepas dan selamat tiba di China semalam.

Daripada 45 pelajar, seramai 10 pelajar akan mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrikal dan elektronik, manakala 20 pelajar dari jurusan kejuruteraan mekanikal dan 15 pelajar kejuruteraan awam.

Sesi pengajian semester pertama di China akan bermula bulan Februari pada setiap tahun.

Selain BJTU, UMP turut menjalinkan kerjasama program ijazah dual dengan Universiti Tianjin (TJU) serta Universiti Ningxia (NXU). – MalaysiaGazette