Dr Masliha Harun menghantar borang Calon Ketua Puteri UMNO Malaysia hari ini. Foto: Facebook Dr Masliha Harun.

KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun sah bertanding sebagai Calon Ketua Puteri UMNO Malaysia pada pemilihan parti akan datang.

Beliau menghantar borang pencalonan jawatan itu di ibu pejabat parti di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

“Alhamdulillah, syukur urusan saya telah dipermudahkan pada hari ini dan selesai menghantar borang sebagai Calon Ketua Puteri UMNO Malaysia.

“Saya mohon doa dan sokongan dari anda semua. Terima kasih banyak kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO di atas proses yang sangat lancar tadi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.

Sebelum ini, media melaporkan Masliha yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai akan membawa REVU dalam perjuangannya.

REVU bermaksud peremajaan (Rejuvenation), pemerkasaan (Empowerment), suara (Voice) dan perpaduan (Unity) sebagai visinya terhadap Puteri UMNO sekiranya terpilih sebagai ketua sayap yang baharu.

Pemilihan UMNO 2023 diadakan bermula pada 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, manakala Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan diadakan pada 1 hingga 26 Februari ini.

Mesyuarat perwakilan dan Pemilihan parti pula berlangsung pada 1 Februari hingga 18 Mac depan di semua peringkat bagi mematuhi pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast