Rafizi PTPTN
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bercakap pada sidang media Mengenai Prestasi Ekonomi Malaysia dan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 di Menara Prisma, Putrajaya.Foto MUHD NA’IM, 15 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, Pas yang berjanji untuk memansuhkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata, ‘mesej’ perlu dihantar kepada Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) supaya mereka mencermin diri dan tidak mempolitikkan isu tersebut.

Ahli Parlimen Pandan itu kesal kerana pihak pembangkang seolah-olah cuba membuatkan seperti Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan penghapusan hutang PTPTN.

“Sedangkan kita dari 2018 lagi telah menyatakan, kita terlepas ruang untuk mereformasi PTPTN masa PRU13. Masa itu hutang PTPTN sekitar RM20 bilion, sekarang hutangnya dah dekat RM50 bilion.

“Sebaik sahaja anda melepasi angka tertentu, tiada apa lagi yang boleh anda lakukan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Ekonomi, di sini, hari ini.

Rafizi mengulas dakwaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari semalam bahawa pemansuhan bayaran balik pinjaman PTPTN merupakan salah satu daripada manifesto PH pada PRU14.

Dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Rafizi mendakwa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membuat kenyataan yang mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu pemansuhan pinjaman PTPTN dalam manifesto PH pada PRU15, baru-baru ini.

Beliau berkata, Wan Ahmad Fayhsal perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan fitnah terhadap PH.

Rafizi turut membangkitkan bahawa Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mempengerusikan PTPTN pada 2018 hingga 2022.

Justeru, beliau menyindir Ahli-ahli Parlimen PN yang dikatakan langsung tidak mencermin diri dalam isu pemansuhan hutang PTPTN.

“Kita tunggu penyata rasmi Parlimen kerana pembangkang ni pun nakal, dia tak sebut secara terperinci contohnya penghapusan itu secara bersasar,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.