dos vaksin
Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid bercakap pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2 di Jabatan Audit Negara, Putrajaya. foto MUHD NA’IM, 16 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Sebanyak 1.10 juta dos vaksin Covid-19  jenis Cansino, Comirnaty dan Astrazeneca telah tamat tempoh antara satu hingga 212 hari.

Maklumat itu terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, kelemahan itu dikesan melalui audit yang dijalankan pihaknya terhadap pengurusan pandemik Covid-19 di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“KKM perlu mengambil kira bilangan penduduk yang dijangka mengambil vaksin berbanding menggunakan cara populasi bagi perolehan vaksin yang dilaksanakan pada masa hadapan.

“Perkara ini adalah bagi mengelakkan pembaziran terhadap dos yang tidak digunakan seterusnya dos menjadi luput tarikh,” katanya dalam sidang media di Jabatan Audit Negara di sini, hari ini.

Menurut beliau, selain itu, sebanyak 93 ventilator yang dibekalkan oleh sebuah syarikat kepada fasiliti KKM tidak dapat digunakan sekali gus menyebabkan anggaran kerugian berjumlah RM13.07 juta.

Nik Azman menambah, penggunaan ventilator di Blok Wad Selatan, Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan penggunaan gas oksigen melebihi had penggunaan dan menyukarkan perawatan di wad-wad di hospital berkenaan.

Beliau memberitahu, kelemahan lain melibatkan lebih peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sangat ketara dengan nisbah penggunaan hanya sebanyak 2.2 peratus dan 3.1 peratus dengan baki masing-masing sebanyak 3.08 juta pasang dan 0.84 juta helai.

“KKM perlu menguruskan peralatan perubahan yang diperoleh secara perolehan darurat dengan lebih cekap dan berhemat supaya boleh dimanfaatkan,” katanya.

Nik Azman berkata, pengauditan turut mendapati pengisian jawatan jururawat adalah tidak setara dengan keperluan perjawatan dan tidak mengikut nisbah tahap penjagaan yang disarankan dengan mengambil kira skop perkhidmatan yang disediakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Menurut beliau, bilangan jururawat sedia ada yang ditempatkan di wad unit rawatan rapi (ICU) semasa tempoh pandemik adalah tidak mencukupi dan menimbulkan kesulitan terutamanya apabila terdapat jururawat yang bercuti kuarantin.

“KKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mempertimbangkan agar KKM diberikan perjawatan tambahan bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan kesihatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette