Friday, April 26, 2024
Home Nasional Dana mangsa gempa bumi di Turkiye, Syria kumpul RM50 juta – PM

Dana mangsa gempa bumi di Turkiye, Syria kumpul RM50 juta – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) melihat keadaan persekitaran rumah dan bangunan yang runtuh akibat gempa ketika membuat lawatan ke Nurdagi, Gaziantep, Turkiye. Foto FAREEZ FADZIL, 15 FEBRUARI 2023.
KUALA LUMPUR – Dana bantuan kemanusiaan Malaysia kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria kini berjumlah RM50 juta, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia melibatkan sumbangan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) sebanyak euro 5 juta (RM23.5 juta) terus kepada AFAD iaitu agensi bencana Turkiye.
Kata beliau, selain itu jumlah sumbangan bentuk wang adalah sebanyak RM22,902,000 dan jumlah sumbangan bentuk barangan sebanyak RM4,200,000.
“Sebagai tanda prihatin, kerajaan jugaakan memberi elaun khas kepada semua petugas yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamar (SAR) bencana gempa bumi di Turkiye.
“Insentif tersebut sebagai menghargai penat lelah dan pengorbanan anggota itu daripada pelbagai agensi dan selain itu kerajaan akan turut memberikan Surat Penghargaan dan Pingat Khidmat kepada anggota yang terlibat,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Menteri-Mentri Di Bawah Peraturan 14 (1)(I) Pada 16 Februari 2023 Berhubung Lawatan Ke Turkiye.
Anwar di tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan sehari ke Turkiye bagi menzahirkan komitmen Malaysia membantu rakyat Turkiye yang terkesan dengan malapetaka gempa bumi.
Pesawat khas yang membawa Anwar serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada kira-kira 9 pagi tadi.
Ketibaan Anwar bersama Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali disambut Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel.

Dalam lawatan itu, Anwar telah bertemu Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Ankara bagi menyampaikan ucapan takziah daripada rakyat Malaysia dan memaklumkan berkenaan bentuk bantuan yang telah diusahakan pihak kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri turut menyantuni pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia yang bertugas membantu mangsa gempa bumi di Nurdagi, Turkiye dan melahirkan rasa bangga atas kecekapan dan tahap profesionalisme pasukan itu.
Pasukan SAR negara terdiri daripada anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia.
Pada 6 Februari lalu, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye serta Syria, dan setakat 13 Feb, dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,644 orang, dengan 106,428 lagi cedera, manakala di Syria pula, 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera. – MalaysiaGazette