pengurusan kewangan
Ketua Audit Negara (LKAN), Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid (tengah) bersama Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Patimah Ramuji (dua kanan) menunjukkan buku Laporan Audit Negara Tahun 2021 selepas sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2 di Jabatan Audit Negara, Putrajaya. foto MUHD NA’IM, 16 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Ketidakpatuhan terhadap pengurusan kewangan telah menyebabkan berlaku isu kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran berjumlah RM158.08 juta.

Perkara itu didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, kehilangan atau kerugian wang awam berjumlah RM116.95 juta yang antaranya melibatkan Jabatan Kastam dan Diraja Malaysia (JKDM), di mana kerugian akibat tidak mematuhi syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan berjumlah RM72.17 juta serta pengiraan duti eksais tidak tepat berjumlah RM150,000.

Beliau menambah, teguran audit yang lain membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mana dana obligasi sosial bagi 2021 berjumlah RM37 juta belum diterima.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) pula didapati gagal menyiapkan projek Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM4 juta mulai 2017 hingga 2019,” katanya dalam sidang media di Jabatan Audit Negara di sini, hari ini.

Nik Azman memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikesan tidak mengenakan denda sebanyak RM1.82 juta manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak mengenakan penalti berjumlah RM150,000.

Beliau berkata, isu-isu membabitkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah sewa kuarters tidak dikutip (RM1.16 juta), kutipan sewa kuarters tidak selaras dengan gred jawatan penghuni (RM400,000) dan kutipan sewa kuarters tidak selaras dengan lokasi pejabat penghuni (RM100,000).

Berhubung isu pembayaran tidak teratur berjumlah RM26.03 juta, Nik Azman menjelaskan, PDRM didapati melakukan bayaran tidak mengikut kontrak berjumlah RM17.76 juta, MAFI membuat bayaran sebanyak RM730,000 di bawah Skim Subsidi Harga Padi kepada pesawah yang meninggal dunia dan Kementerian Pertahanan membuat bayaran Arahan Perubahan Kerja berjumlah RM230,000 sebelum mendapat kelulusan Jawatankuasa Kelulusan Perubahan Kerja.

“K-KOMM pula dikesan melakukan penyaluran DKD berjumlah RM4 juta kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli perbadanan atau jawatankuasa, membayar DKD berjumlah RM3.25 juta sebelum projek terdahulu selesai serta melakukan bayaran tidak teratur dan penjualan hak penyiaran tanpa kelulusan berjumlah RM60,000.

Beliau berkata, pembaziran sebanyak RM15.1 juta dikesan di JPJ melibatkan isu kad lesen memandu tidak digunakan bernilai RM14.23 juta dan MAFI di mana jentera belum digunakan dan telah rosak bernilai RM870,000.

“Secara keseluruhannya, Jabatan Audit Negara telah mengemukakan 22 syor untuk diambil tindakan oleh kementerian dan jabatan Persekutuan berkaitan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast