Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran bersama timbalannya, Datuk Seri Saravanan bergambar bersama penerima penerima bantuan pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendidikan MIED di High Convention Centre Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR –  Datuk Seri Anwar meminta MIC untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah kaum India.

Menurut Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran, perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri dalam pertemuan baru-baru ini.

“Dia cakap secara peribadi, dia kata saya tahu bagaimana mahu menyelesaikan isu sekolah Tamil (dan mahu) bekerja dengan dia, supaya dapat menyelesaikan masalah kaum India,” kata Vigneswaran kepada media.

Beliau ditemui selepas selepas menyampaikan cek bantuan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) kepada 518 pelajar pelbagai kaum berjumlah RM17.2 juta bagi tahun ini.

Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran beramah mesra dengan para hadirin selepas Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendidikan MIED di High Convention Centre Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 FEBRUARI 2023.

Menurut Vigneswaran, Anwar turut menyatakan kesudian untuk menguruskan pertolongan supaya anak-anak keturunan India yang belajar di AIMST University diberikan biasiswa dan pinjaman.

Sementara itu beliau menegaskan, MIC akan memberikan kerjasama terhadap Kerajaan Perpaduan berlandaskan prinsip Barisan Nasional.

“Walaupun ada perbezaan tetapi kita telah menerima saranan Yang di-Pertuan Agong supaya diadakan kerajaan yang stabil dan memastikan masalah ekonomi dan masyarakat diberi keutamaan.

“Saya secara peribadi dan atas prinsip parti hendak sebuah kerajaan stabil supaya kita dapat mengatasi masalah-masalah ekonomi yang melanda masyarakat umum,” kata Vigneswaran.

Menurut beliau, MIC telah meneruskan agenda politik dengan Kerajaan Perpaduan tanpa sebarang jawatan.

Parti pimpinnya mahu masalah rakyat secara umum dan  masyarakat India khususnya dapat dibendung dan diatasi oleh Kerajaan Perpaduan.

Ketika ditanya apakah harapan MIC untuk masyarakat India dalam Belanjawan 2023, Vigneswaran berkata, beliau memberikan ruang kepada Kerajaan Perpaduan,

“Kita ada juga ‘sebuah kertas’ yang akan kita beri kepada Anwar supaya beliau boleh teliti dan mengambil tindakan.

“Walau bagaimanapun saya berpendapat oleh kerana masalah kewangan pada masa sekarang, semua kena bertenang dan memberikan ruang kepada Kerajaan Perpaduan membentuk Belanjawan yang memberi fokus kepada masalah keseluruhan rakyat,” kata beliau.-MalaysiaGazette